Pages

Isnin, 16 April 2012

Kelas Klinik Matematik


Muhammad Shakib Shamsudin menunjukkan cara mudah mengingati sifir.


Murid dan pelajar sekarang cekap, pantas, bijak dan jauh ke hadapan daripada anggapan ibu bapa dan masyarakat, lantaran itu pengajaran secara konvensional di sekolah tidak lagi relevan." Lontaran pandangan daripada anak muda berusia 30 tahun ini agak berani dan tidak mustahil menimbulkan riak kurang senang terutama di kalangan warga pendidik.

Sinonim pula dengan penglibatannya sebagai usahawan muda yang kini mengusahakan empat cawangan pusat tuisyen, The Maths Clinic Tuition Centre (Maths Clinic) di Setiawangsa, Wangsa Maju dan Cheras di Kuala Lumpur dan Taiping, Perak, kenyataan Muhammad Shakib Shamsudin, 30, agak berbaur berat sebelah.

"Apa yang saya lontarkan ini, berdasarkan apa yang dikongsi bersama pelajar di pusat tuisyen ini rata-rata mengakui mereka mahukan kelainan, bukan lagi sekadar menadah telinga mendengar dan menerima nota sebaliknya mahu penyampaian maklumat pantas, sepantas mereka melayari Internet,'' ujarnya ketika di temui di Wangsa Maju, salah satu pusat tuisyen miliknya, baru-baru ini.

Tidak dinafikan sebahagian besar ibu bapa sanggup melabur untuk membaiki prestasi akademik anak-anak agar lebih cemerlang.

Ketua Lembaga Pengelola Maths Clinic, lulusan Ijazah Sarjana Muda, Matematik dan Statistik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu mencetus minat dalam dunia Matematik sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

''Ketika itu masih di kampung, di Taiping. Kebiasaan mengikut ibu yang mendapat tender kantin sekolah, mengira wang pelanggan tanpa bantuan alat pengira, memotivasikan seluruh hidup saya untuk matematik dan berkongsi dengan anak-anak.

''Walaupun sebelum ini subjek Matematik sesuatu yang menakutkan pelajar bahkan ibu bapa pun trauma kerana cita-cita anak melanjutkan pelajaran ke menara gading tersangkut gara-gara kegagalan menguasainya.

"Namun percayalah, pengiraan sebenarnya mudah jika pelajar mengubah sikap daripada malas berfikir kepada penggunaan fungsi otak sepenuhnya,'' katanya.

Lantaran itu, Shakib amat berharap pengunaan alat bantuan pengiraan diharamkan di sekolah terutama di peringkat sekolah rendah.

''Penggunaan alat bantuan ini bagaikan wabak yang bila-bila masa merebak dan bakal mengikis minat anak-anak untuk befikir. begitu juga dengan penghafalan sifir yang kini dipandang tidak endah, pada hal sifir adalah ibu dan kunci matematik," katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu mengusahakan pusat tuisyen itu sebaik tamat pengajian di universiti bersama-sama abang ke empat, Shahiran, 33. Mereka berganding bahu berkongsi kemahiran menguasai dunia matematik.

Namun menurut Shahiran selaku Pengurus Besar Sumber Manusia, walaupun pusat itu menggunakan nama matematik, mata pelajaran lain tidak dipinggirkan kerana beliau sendiri mengajar dan menyelia subjek sejarah yang akui menjadi darah dagingnya.

"Penubuhan Maths Clinic ini dimiliki sepenuhnya oleh Pusat Tuisyen Esses pada April 2004 dan telah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran di bawah Akta Institusi Pendidikan Swasta.

"Mata pelajaran lain seperti Bahasa Malaysia, Sains, Bahasa Inggeris, Kimia, Fizik, Biologi, Geografi, Mandarin malah Pendidikan Islam juga ditawarkan.

"Bermula dengan 53 pelajar di tahun pertama pada 2004, kini mencecah 3,600 di empat pusat tuisyen. Sambutan tersebut antara penggalak kami akan membuka cawangan di Shah Alam, Sentul dan Bangi di Selangor tahun hadapan.

"Pada penghujung tahun ini untuk operasi 2013 nanti insya-Allah kami akan menambah cawangan di Sentul, Shah Alam dan Bangi, " ujarnya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Bio Industri dari Universti Putra Malaysia.

Memberi tumpuan kepada murid dari tahun tiga hingga tingkatan lima, pusat guru-guru serta tutor yang berpengalaman luas serta berkelayakan dalam bidang akademik dan di bantu oleh kakitangan pengurusan yang cekap dalam menguruskan aktiviti harian syarikat.

Mengulas mengenai kelainan dari segi penyampaian kepada pelajar yang bukan sekadar nota yang diberikan, Shakib menjelaskan bahawa tenaga pengajar mereka akan menjalani latihan selama 30 jam sebelum mula mengajar.

Menariknya, pusat tuisyen itu menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti kelas tutorial khas untuk pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) sahaja, seminar teknik menjawab soalan peperiksaan UPSR, PMR dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kelas intensif bagi mata pelajaran kritikal.

Bagi aktiviti lain seperti sesi ulang kaji percuma setiap malam minggu untuk calon PMR dan SPM. Kelas percuma bagi mata pelajaran Pendidikan Islam turut diberikan.

Uniknya, pusat tuisyen itu juga menyediakan perkhidmatan van untuk para pelajar yang kini berjumlah sembilan buah.

Ini amat berbaloi kepada ibu bapa yang menghadapi kekangan masa untuk menghantar anak kerana perkhidmatan tersebut akan mengambil para pelajar pergi dan balik ke rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan